Sunday, January 3, 2010

Erti Tahun Baru

Pejam celik-pejam celik, 2010 muncul meninggalkan 2009. Sedar tidak sedar, usia kita juga semakin meningkat dan dengan jelas semakin hampir dengan kematian yang entah bila. Itulah realiti kehidupan. Satu kitaran hidup yang sangat unik. Tiada siapa pun mampu menahan atau menghalangnya. Sudah menjadi sunnatullah kehidupan ini.

Teman-teman,
Jika kita memerhati penggatian angka dari 2009 ke 2010, kita akan hanya melihat satu makna. Tetapi jika kita memerhati penggantian makna 2009 ke 2010, kita akan melihat banyak angka. Hal ini sama seperti kita membaca satu ayat dari AlQuran tetapi banyak tafsiran di dalamnya. Jadi kita perlulah melihat penggantian 2009 ke 2010 dari sudut pandang makna kehidupan, barulah kita akan menghargainya dengan penuh nikmat. Namun, jika kita melihat situasi ini hanya dari sudut sebutan angka sahaja, maka kita tidak dapat melihat makna disebaliknya. Untuk itu, kita perlu memikirkan apa yang akan kita lakukan untuk masa depan kita agar kita dapat melihat makna tersebut. Memikirkan apa yang akan kita lakukan adalah dituntut kerana ia akan memotivasikan diri kita untuk melakukan sesuatu yang lebih positif dan memberi faedah kepada kita. Tetapi, memikirkan apa yang telah berlalu kemudian terkongkong dengan imaginasinya maka ia tidak akan membawa sebarang perubahan bahkan akan memudaratkan diri sendiri.

Tahun 2010 datang dengan membawa sejuta harapan kepada setiap insan. Masing-masing tidak sabar untuk menyambut kedatangan tahun baru. Sambutan yang meriah pasti akan lebih memberi erti kepada seseorang. Yang jelas, setiap tahun pasti adanya konsert ambang tahun baru bagi meraikannya. Semua orang berkumpul beramai-ramai bagi melakukan ’countdown’ menjelang jam 12.00am. Lalu berdentum-dentumlah bunga api menyerlahkan percikannya sambil disaksikan sejumlah pengunjung. Kemudian, berpesta kesini sana dan banyak lagi aktiviti tidak berfaedah yang dilakukan. Entah untuk apa dan demi siapa mereka lakukan?..

Saudara sekalian,
Suatu perkara yang stereotype. Tidak berubah. Apabila menjelang tahun baru, perkara yang sama akan berlaku. Hingga sudah menjadi budaya masyarakat Malaysia untuk meraikannya dengan sebegitu rupa. Padahal, ia hanyalah satu peristiwa yang asing bagi kita kerana umat Islam mempunyai kalendar mereka sendiri. Tetapi apabila otak serta diri kita sudah diformatkan dengan kalendar Masihi maka ia akan menjadi perkara yang mesti bagi kita. Keterbiasaan akan menjadi perkara yang wajib bagi seseorang. Namun, sebagai penganut agama Islam kenapa kita tidak menyambut tahun baru Islam semeriah dengan tahun baru Masihi? Kenapa umat Islam tidak berpusu-pusu untuk ke masjid untuk meraikan awal Muharam seperti mereka berpusu-pusu untuk menyambut 2010?. Walaupun sebenarnya peristiwa di bulan Muharam itu begitu bermakna bagi kta. Suatu kisah dalam sirah yang memberi 1001 ppengajaran bagi mereka yang memahaminya.
‘Dan orang-orang yang beriman setelah itu, kemudian dia berhijarah dan berjihad bersamanya maka mereka termasuk golonganmu….’(AQ:8:75)
Lebih malang lagi, anak-anak kecil yang baru meningkat remaja akan memahami bahawa kehadiran tahun baru perlu diraikan. Malah, mereka akan mengimpikan sesuatu yang lebih meriah ketika mereka dewasa kelak. Inilah perkara yang menjadi stigma dalam masyarakat sekarang.

Ironinya, adakah dengan kemeriahan kedatangan tahun baru itu akan membawa hidup masyarakat umumnya lebih gembira? Sedangkan masalah yang menimpa masyarakat kian menghimpit negara. Menjelang tahun baru pasti ada sahaja harga barang yang naik seperti gula. Subsidi pula dikurangkan dan sebagainya. Namun, Model Eknomi Baru yang mula diperkenalkan dengan menjadikan inovatif dan kreatif sebagai keutamaan diharapkan dapat mengatasi masalah ekonomi yang melanda negara. Selain itu, masalah sosial seperti dadah, rempit, rogol turut menjadi buntu. Tidak pernah selesai malah makin meningkat setiap tahun. Banyak program dilakukan demi membasmi masalah yang berlarutan ini. Namun, pelaburan yang dilakukan tidak setimpal dengal hasil yang dierolehi. Jawapannya masih sama.

Jadi, apakah erti sebenar kehadiran tahun baru bagi kita? Adakah dengan meraikannya dengan meriah bermaksud meraikan masalah yang semakin meruncing? Ataupun meraikannya bermaksud meraikan masalah-masalah diatas telah selesai?..pastinya kita semua menginginkan jawapan yang kedua. Oleh itu, bagi mendapatkan jawapan itu, kita semua perlulah satukan azam kita. Azam kita ialah ingin melihat tiada lagi masalah yang timbul apabila semuanya mengamalkan ajaran Islam dengan menjadikan Allah sebagai tujuan hidup mereka hinggalah Islam itu tertegak kembali , kukuh di dunia ini. Inilah azam yang perlu kita kongsi bersama. Kerana Islamlah nadi, aqidah, dan kepercayaan kita. Sebab itulah, tidak boleh tidak kita perlu kembali kepada Islam. Barulah kehadiran tahun baru itu akan menjadi suatu ibadah yang manis bagi kita.

Oleh itu, sama-samalah kita fikirkannya. Bertindaklah dengan sebaiknya. Bergeraklah seramainya. Bersatulah keranaNya. Dan bersama kita merasai hasilnya. Akhir kalam, kerja kena buat, amal mesti kuat, dakwah perlu tingkat, hingga dunia kiamat..
‘Perangilah mereka(musyrikin) hingga tiada lagi fitnah dan seluruh deen itu kembali kepada Allah’(AQ:2:193)

wallahu'alam..

No comments:

Post a Comment