La ilaha illallah.
Tidak ada tuhan yang layak disembah kecuali Allah. Tidak ada yang layak
ditakuti kecuali Allah. Tidak ada yang layak diikuti melainkan Allah. Tidak ada
yang patut dicintai melebihi Allah. Tunduk, pasrah dan tawakal hanya kepada
Allah. Kalimat inilah yang sungguh-sungguh akan menguatkan diri kita di mana
dan bila-bila sahaja.
Saudaraku,
Mari resapi kandungan dan
makna kalimah tauhid itu. Renungkanlah bagaimana Rasulullah dan para sahabatnya
dengan cermat menanamkan keyakinan yang begitu kukuh dalam diri anak-anak mereka.
Agar mereka sejak kecil tidak keliru menempatkan perasaan tunduk dan patuh
kepada selain Allah. Agar mereka sejak usia belia tidak keliru menyingkapi rasa
takut kepada selain Allah. Agar mereka sejak kanak-kanak telah mampu mewarnai
diri dengan segenap perasaan yang selalu berdekatan dengan keberadaan Allah.
Ibnu Umar pernah meriwayatkan sebuah sabda Rasulullah, ‘Jangan acukan tongkat
pada anak-anakmu(agar dia takut kepadamu). Tapi jadikanlah mereka takut kepada
Allah’.
Jadi, topik ini
dimulakan dengan dua kisah daripada Al Quran yang cukup memberi makna kepada
mereka yang menghayatinya.
i.
Kisah pertama iaitu kisah Mukmin aali firaun. Boleh rujuk surah Al
Ghafir ayat 28-55. Kisah ini menceritakan bahawa seorang lelaki berketurunan
firaun yang telah menerima hidayah Allah dan menyembunyikan keimanannya
daripada firaun. Namun, apabila melihat kebenaran di perkotak katikkan, dia
bangkit untuk mempertahankan Nabi Musa AS. Dia sanggup berhadapan manusia yang
paling berkuasa ketika itu disaat tiada orang yang berani melawannya, namun dia
bangkit menyatakan kebenaran mempertahankan Nabi Musa yang ingin dibunuh firaun
bersama komplotnya kerana menyatakan kebenaran Islam.
ii.
Kisah kedua digambarkan oleh Allah SWT dalam surah Yasin ayat 20-32. Lelaki ini
telah mendengar dakwah dan terus menyambutnya setelah dia melihat dalil-dalil yang
benar dan logik. Lantas, dia terus menyampaikan apa yang diyakininya kepada
masyarakat sekeliingnya. Sanggup datang dari pedalaman kampung demi
menyampaikan risalah Islam. Diceritakan bahawa setelah lelaki tersebut beriman dengan
Islam dan tanpa ragu serta berlengah dia terus berdakwah kepada kaum dengan menyeru
supaya mengikuti para Rasul.
Jadi, daripada dua kisah yang
dipamerkan Al Quran kepada manusia cukup jelas dalam menyelami hakikat keimanan
dan kepercayaan pada diri manusia. Dalam kitab ‘Fi Zilal Al Quran’, Syed Qutb memberi
komen yang cukup cantik mengenai kisah tersebut. Syed Qutb menulis,
‘Apabila hatinya merasakan hakikat
iman, maka hakikat inipun bergerak di dalam hatinya dan dia tidak dapat lagi
mendiamkan dirinya. Dia tidak dapat lagi duduk di rumahnya apabila ia melihat
kesesatan, kekufuran dan kejahatan di sekelilingnya. Dia terus keluar
mendapatkan kaumnya membawa keimanan yang terpacak di dalam hati dan bergerak
dalam perasaannya, sedangkan kaumnya mendustakan para rasul dan mengancam
mereka. Dia datang mendapatkan mereka dari daerah pedalaman negeri itu untuk
melaksanakan kewajipannya, iaitu untuk menyeru kaumnya kepada kebenaran dan
menghalangkan mereka dari melakukan kezaliman dan pencerobohan terhadap para
rasul yang hampir-hampir dilakukan mereka.
Orang ini mempunyai ‘aqidah yang hidup
di dalam hati nuraninya dan itulah yang mendorongnya datang dari daerah pedalaman negeri itu.
Yakni orang yang berda’wah seperti ini
tanpa meminta upah dan mencari keuntungan adalah orang yang benar. Jika tidak,
apakah yang membuat dia sanggup bersusah payah andainya tidak kerana
semata-mata menjunjung perintah dari Allah? Apakah yang mendorong mereka
memikul tugas da’wah? Dan menghadapi manusia dengan ‘aqidah yang berlainan dari
‘aqidah yang dipegang mereka? Dan sanggup mendedahkan diri mereka kepada
gangguan tindakan jahat, ejekan dan penindasan mereka, sedangkan dia tidak
mendapat apa-apa hasil dan tidak pula meminta apa-apa upah darimereka?
Kerana suara fitrah di dalam hatinya
lebih kuat dari segala pendustaan dan ancaman.’

Sidang pembaca sekalian,
Ada hakikat keimanan yang lebih besar yang perlu difahami dengan jelas. Iman seperti yang diimani ialah percaya dengan hati, mengakui dengan
lidah, dan beramal dengan anggota. Maka, tidak boleh tidak, kita perlu jadikan
segala tindakan kita berlandaskan iman yang kita yakini. Saya ingin bertanya
kepada para pembaca, sejauh mana kita menjadikan segala hidup kita ini ibadah
dan atas dasar iman? Adakah belajar, makan, tidur, sukan, membaca, bercakap dan
sebagainya kita lakukannya atas dasar iman kita?
Sangat rugilah jika tindak-tanduk kita dilakukan atas dasar hawa,
nafsu, kehendak orang lain dan macam-macam lagi. Namun, yakinlah bahawa Allah
itu Maha Pengampun. Ramai orang yang menyatakan keimanannya, namun tidak kelihatan
apa yang diimaninya itu. Dan ramai juga yang menganggap iman itu hanya di hati
tanpa perlu dilihat melalui zahirnya. Begitu juga, ramai yang mengatakan
sayangnya terhadap sesuatu perkara namun tidak mampu untuk berjuang dengan
perkara tersebut.
Kesimpulannya, sebelum mengimani akan sesuatu perkara adalah
perlunya untuk mengetahui dan memahami dengan baik akan perkara tersebut. Jadi,
Islam yang kita anuti ini bukan sekadar agama retorik namun ia sebenarnya
merangkumi segala aspek. Islam itu perlu didalami ilmunya, barulah iman dan
akidah itu akan terpasak dalam diri seterusnya membuatkan diri itu tidak dapat
duduk diam lantas menyedari perlunya untuk menyampaikan apa yang diyakini itu
kepada orang lain. Itulah sebenar-benar ‘milestone’ ataupun batu loncatan hidup
kita sebenarnya kerana sifat iman itu mutaharrik(bergerak) bukan pasif.
Hakikatnya, IMAN itulah yang menolak kita untuk terus hidup. IMAN
jugalah yang menolak kita untuk terus berdakwah, berukhuwwah, dan lain-lain. IMAN jugalah yang menolak kita
untuk melakukan segala-galanya untuk beribadah kepada Allah. Jadi, pastikan
setiap gerak-geri, tindak-tanduk, serta amalan kita dilakukan berdasarkan iman
bukannya yang lain-lain. Moga bermanfaat bagi mereka yang membaca dan mengamalkan.
Sekian sahaja. Wassalam..
No comments:
Post a Comment