Friday, January 22, 2010

Cerita Semut : Motivasi dalam Jamaah



Apabila terlihat sahaja akan semut maka akan kedengaranlah suara yang akan menyeru meminta ‘spray2!!’. Sudah semestinya insan itu pasti mahu memabukkan semut itu lalu mematikannya. Tidak susah untuk membunuhnya. Hanya dengan beberapa semburan spray, atau dengan memijaknya. Namun, satu persoalan yang harus difikirkan, kenapa kita membunuh semut? Sama-sam kita fikirkannya.

Sidang pembaca yang dihormati,
Kali ini penulis ingin membawa kalian keluar daripada dunia kita sebagai manusia. Mari kita menjengah sejenak ke suatu alam haiwan iaitu SEMUT. Ayuh, kita fikir kembali serta mengambil pengajaran untuk kita meneruskan hidup sebagai muslim,da’ie dan pemimpin jamaah daripada kisah hidup sang semut ini. Maka, tidak hairanlah mengapa kisah semut ini dijadikan satu surah dalam AlQuran. Kalau bukan untuk tujuan terpuji, mulia, untuk apa nama itu disebut dalam kitab suci kita AlQuran.

Semut, sejenis binatang yang kerdil lagi kecil dari sudut pandangan kita. Pelbagai spesies, ada yang berbisa dan sebaliknya, pelbagai warna dan seperkara lagi memang tidak boleh dinafikan semut sentiasa berada dalam jamaah ataupun berkumpulan. Satu kumpulan binatang yang unik dengan pelbagai keistimewaan. Acap kali penulis berehat sambil berbaring di atas katil lalu terpandang akan semut di dinding yang sedang sibuk bekerja. Ada yang bergerak dari atas ke bawah dan juga dari bawah ke atas. Sebaris mengikut jalan yang satu walaupun dinding itu itu seluas langit dalam pandangan mereka. Walaupun diganggu, dihalang, disekat sang semut tidak mengalah menunggu dengan setia untuk melalui jalan yang satu tersebut.

Kononya apabila semut berjalan berputar-putar ataupun secara zigzag, maka ia merupakan satu petanda bahawa sang semut sedang mencari makanan bagi kaum dan bangsanya. Apabila menemukan biskut manis, gula, dan yang serupa dengannya pasti si kecil semut yang seekor itu tidak akan menghabiskan dan mengangkutnya sendirian. Malah, ia akan berputar-putar mengelilingi bahan makanan tersebut untuk mengenalpasti berapa banyak pasukan yang diperlukan untuk mengangkutnya. Setelah mengenalpasti segalanya, si semut akan kembali pulang kepada kaumnya. Pulang dengan jalan yang lurus sambil melepaskan asam semut melalui ekornya bagi menjadi garisan perantaraan bagi sahabat-sahabat semut yang lain melaluinya nanti.

Cuba-cubalah meletakkan gula atau coklat di tepi garisan itu, nescaya mereka tidak akan tergoda. Bahkan meereka akan terus thabat ataupun tetap mengikut jalan yang telah ditanda itu. Itulah disiplin yang begitu tinggi yang ditunjukkan oleh haiwan kecil, semut. Mereka juga tidak goyah dengan segala godaan mahupun mehnah/ujian di sepanjang perjalanan. Mereka sabar, tabah, utuh, kuat semangat dan bersungguh-sungguh untuk menimbun segala logistik yang ada untuk bekalan sepanjang musim yang tempohnya lebih panjang daripada usia mereka. Yang nyata mereka tidak bersuara malah terus bekerja bukan sahaja untuk kepentingan peribadi tetapi lebih kepada kepentingan kaum dan bangsa mereka.

Saudara sekalian,
Apa yang menarik perhatian ialah ghoyah/ahdaf/tujuan si semut itu sangat jelas. Pergi ke tempat makanan kemudian pulang semula ke sarang tanpa singgah di mana-mana tempat atu perhentian untuk merasai nikmat yang lain bersendirian. Jangan sekali-kali kkita cuba meletakkan benda-benda manis di tepi garisan tersebut kerana sesungguhnya mereka tidak akan terjebak dengan hasutan itu. Satu kemusykilan, entah dari mana datangnya dan bagaimana ia mengintai, seekor kapten semut telah sedia dengan kepala dan taring yang besar untuk memenggal kepala anak-anak buahnya yang terpedaya,tergoda dengan jebakan tersebut.
Apabila diimbas kembali sejarah silam, betapa tidak ternilainya kelalaian pasukan perang uhud yang ditempatkan di atas bukit. Kelalaian itu amat jelas apabila mereka terpesona dengan harta-harta perang. Mereka terpedaya dengan keduniaan hingga tidak keruan jadinya. Lalu mereka semua turunlah ke bawah untuk mengambil harta-harta tersebut. Malangnya apa yang dikejar tak dapat , yang dikendong berciciran. Sebaliknya pasukan Islam pula yang diserang akibat kelalaian pasukan tersebut kerana mengingkari arahan Rasulullah supaya tidak meninggalkan tempat mereka sama ada menang ataupun kalah. Itulah peristiwa pedih yang menimpa Rasulullah hingga mendatangkan kecederaan kepada baginda.

Saudara yang direhai Allah,
Dalam kita menelusuri hidup sebagai seorang hamba Allah yang dikurniakan akal fikiran, apalah kiranya kita mengambil ibrah ataupun pengajaran daripada kisah semut di atas. Sesungguhnya hidup mereka dan hidup kita sama sahaja. Bekerja, makan, minum, jalan. Namun, yang menjadi batu pemisah ialah akal. Di sini disediakan beberapa pengajaran yang boleh dijadikan manfaat bersama :

1) Menyerlahkan amal dengan bekerja bukan dengan membuat bising. Biarlah sedikit bercakap tetapi amal banyak. Jangan banyak cakap tetapi amal sedikit. Bekerja, berdakwah untuk mengumpul rijal-rijal dakwah, menimbun bekalan-bekalan materi, menyusun batu-batu asas dalam binaan Islam. Semua ini hanyalah untuk melihat Islam kembali tersergam indah dan tertonjol pada suatu masa yang akan datang yang kita sendiri tidak tahu bila. Maka, marilah kita sama-sama bekerja.

2) Sentiasa berada dalam jamaah. Tidak boleh tidak bagi insan yang hendak memperjuangkan Islam semestinya dengan jamaah. Walau apa jua yang dilakukan semuanya adalah untuk kepentingan dakwah dan jamaah. Elakkan menjadi kambing yang lari daripada kelompoknya. Kerana sudah pasti ia akan diterkam serigala. Dengan jamaah lah kita boleh melebarkan sayap dakwah, meluaskan rangkaian Islam serta memasakkan syariat-syariat Islam di muka bumi ini.

3)Tetap thabat di atas jalan dakwah walau dalam apa-apa keadaan sekalipun. Memang tidak dinafikan jalan ini tidak dihamparkan dengan karpet merah atau permaidani indah. Malah, ujian, cabaran, kelemahan adalah perkara asasi dalam dakwah. Oleh itu mereka yang terus kekal adalah mereka yang pastinya mendapat pahala yang besar. Marilah kita tingkatkan keyakinan kita dengan meyakini bahawa dengan jalan inilah kita mampu menjadi salah seorang yang matinya sebagai syahid pada masa ini. Kerana zaman sekarang adalah waktu untuk kita berjihad dengan berdakwah. Walaupun tidak dapat menjadi syahid dalam medan perang tetapi yakinlah dengan jihad dakwah kita mampu merasai mti sebagai syahid.

4) Sabar, tabah, rajin, dan tidak pentingkan diri. Perkara-perkara tersebut adalah nilai-nilai asas yang perlu ada pada setiap individu. Apatah lagi mereka yang bergiat dalam dakwah, memang perlu untuk mempunyai serta memahami nilai-nilai tersebut. Walhal, saban hari manusia sering mengabaikan nilai-nilai asas tersebut. Malah semut lebih memahami hakikatnya.

Banyak lagi pengajaran atau istifadah yang boleh diambil daripada kehidupan semut. Cukuplah bagi saya menyatakan 4 perkara tersebut yang menjadi tunjang kepada kehidupan kita. Dengan itu marilah kita sama-sama berfikir, bermuhasabah, serta bertindak dengan sewajarnya yang selaras dengan kehendak Allah dan RasulNya.

sekian..

No comments:

Post a Comment