Wednesday, January 13, 2010

Antara Ilmu dan Hidayah



Sebagai seorang manusia biasa, kita semua mempunyai kesempatan yang sama. Dihadapan kita terpapar alternatif yang sama. Dan dihadapan kita juga terbentang dua jalan. Kita harus memilih satu jalan antara dua jalan tersebut. Kitalah yang memilihnya. Antara jalan fujur(dosa) ataupun jalan yang mengarah keada takwa. Tidak ada keadaan yang memaksa kita melakukan keburukan dan tidak ada juga keadaan yang memaksa kita untuk melakukan kebaikan. Semuanya terpulang keada diri kita sendiri.

Mungkin kita tahu, satu keadaan yang akan mengarahkan kita kepada bahaya. Kita juga tahu jalan-jalan yang mengajak kepada kesalahan. Kita tahu bahawa jalan yang akan kita tempuh itu hulunya adalah dosa. Namun, tahu sahaja tidak menjadikan seseorang memiliki kualiti amal yang lebih baik. Hanya dengan tahu sahaja tidak menjadi syarat seseorang itu menjadi soleh. Ilmu pengetahuan tentang kebenaran, agama, dan kebaikan tidak selalu menjadikannya pasti mendapat hidayah.


Hal ini bukanlah penghinaan terhadap ilmu. Kerana ilmu pengetahuan tetap menjadi batu asas penting yang menentukan amal seseorang. Tanpa ilmu, amal akan menjadi sia-sia. Tanpa ilmu juga, sesuatu amal itu boleh mendatangkan mudharat dan bahaya. Namun, dari skop yang lain, ilmulah yang akan memudahkan seseorang untuk menangkap signal hidayah. Kemudian, akan membimbingnya melakukan kebaikan. Namun, apa yang harus ditekankan disini ialah ilmu itu tidak menjadi jaminan seseorang akan menjadi soleh. Kerana apa?..kerana ilmu pengetahuan tidak pernah menjadi taruhan untuk seseorang itu menjalani kehidupan yang baik dan bahagia.

Lihat sahaja dua situasi ini. Dua sampel yang cukup mudah :

1) Seseorang yang wara’, baik, menjaga solat, taat ibu bapa dan sebagainya. Alhamdulilah, dia telah menunjukkan qudwah yang baik. Satu ketika, datang seseorang ingin bertanyakan keadaan umat Islam di tempat lain dan penjelasan hikmah gerakan dalam solat. Namun, dia hanya tunduk membisu, mendiam seribu bahasa.

2) Seseorang yang hidupnya berbudayakan barat, berseronok tanpa sibuk memikirkan masalah umat. Namun, jika diajukan soalan-soalan mengenai agama, dengan lantang dia menjawab dengan tepat. Malah, mampu berhujah dengan jawapan tersebut. Malangnya, hidupnya tidak selari dengan ilmu yang dia ada.

Itulah dua kontradoks yang ada dalam masyarakat kini. Kearifan seseorang itu tentang sesuatu ilmu, belum tentu menjadikannya seorang yang baik. Dan kejahilan seseorang itu belum cukup untuk melabelkannya sebagai pelaku dosa. Namun, perkara yang jelas disini ialah kedua-duanya(arif dan jahil) akan memberikan satu pengaruh yang besar tehadap tindak tanduk seseorang.

Saudara sekalian,
Apa yang sepatutnya berlaku adalah apabila seseorang itu berilmu, maka secara tidak langsung akan meningkatkan darjatnya disisi Allah. Hal ini kerana dia tahu bagaimana untuk mencari hidayah, dan dengan cara bagaimana Allah akan memberikan petunjukNya kepada sang hamba. Maka outputnya akan terhasil satu produk mukmin yang berkualiti yang mencapai standard di dunia dan akhirat. Pepatah ada mengatakan, kejayaan tidak datang bergolek, tidak juga melayang. Begitu juga dengan hidayah. Malah kita yang perlu mencarinya. Mengetahui dimana lubuk-lubuk hidayah Allah akan muncul, mengenalpasti signal-signal hidayah itu menyala dan berusaha mendapatkannya. Bukannya hanya duduk diam mengharapkan petunjuk Allah datang. Namun, boleh jadi juga hidayah itu datang sendiri tanpa kita sedari. Kerana kita berpegang pada firman Allah yang bermaksud, ‘Dia menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia memberikan petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki’.

Saudaraku,
Bersyukurlah jika kita termasuk orang yang dikurniai pengetahuan tentang kebaikan. Bersyukurlah jika kita dibimbing oleh Allah untuk mengenal rambu-rambu kebaikan dan kesalahan. Bersyukurlah jika kita tergolong dalam kelompok orang yang lebih mengenal tuntutan Islam berbanding yang lain. Orang yang berilmu tinggi tidak semestinya digelarkan ulama’. Sedikit ataupun banyak ilmu yang kita miliki, seharusnya betul-betul mampu mengiringi setiap langkah kita dalam meniti hidup ini kearah yang lebih baik. Ilmu adalah AMANAH. Ilmu juga adalah pelita yang sangat mampu untuk menerangi jalan mencapai hidayah Allah. Namun, tanpa kesedaran dan keperibadian yang cukup, ilmu itu boleh menjerumuskan seserang ke lembah dosa yang lebih jauh daripada orang yang tidak berilmu. Sebagai pengakhirannya, AYUH! sama-sama kita teruskan pengembaraan mencari ilmu dan hidayah.

‘Barangsiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan buka jalan baginya jalan ke syurga. Dan semua penghuni langit, bumi, dan air akan memohon keampunan kepada Allah baginya. Orang yang berilmu lebih baik daripada seorang ahli ibadah laksana bulan disbanding bintang-bintang di langit. Ulama’ adalah pewaris Nabi’ (Abu Darda’)

No comments:

Post a Comment