Tuesday, July 20, 2010

'Allahumma Ballighna Ramadhan…'


Assalamualaikum semua..

Semoga kita termasuk hamba-hambaNya yang tetap kukuh berpegang pada ajaranNya. Ini adalah hari-hari yang bahagia. Kebahagian yang datang saat kita kita mampu bersujud kepadaNya. Kebahagian yang datang bersama istigfar atas selautan dosa. Dan kebahagian yang datang tika mulut mampu melafazkan kalimah-kalimah suci Al Quran. Terasa begitu indah hidup ini. Inilah kebahagian.

Berbahagialah kerana kita sudah berada di bulan Sya’ban. Bulan pemisah antara Rejab dan Ramadhan. Tidak lama lagi akan menjelmalah bulan yang sangat dirindukan. Bulan yang mulia, suci, penuh rahmat, bulan penuh maghfirah, bulan ibadah, bulan jihad. Itulah Ramadhan. Lalu berdoalah, ‘Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban. Dan sampaikanlah usia kami hingga bulan Ramdhan’.
Teman-teman,
Hampir tidak sedar bahawa sudah dekat setahun Ramdhan meninggalkan kita. Sekarang kita di bulan Sya’ban. Bulan yang menjadi bulan ibadah istimewa bagi Rasulullah. Para salafussalih mengatakan bulan Sya’ban sebagai bulan para qurra’. Habib bin Abi Tsabit apabila masuk bulan Sya’ban mengatakan, ‘inilah bulannya para qurra’. Manakala Amr bin Qais menutup kedainya pada waktu tertentu untuk membaca Al Quran apabila Sya’ban menjelma.

Saudaraku,
Saat ini mari kita renungi sejauh mana keberhasilan Ramadhan yang lalu mentarbiyah diri kita menjadi mu’min ‘abid. Adakah di bulan-bulan setelah Ramadhan kita masih setia meluangkan waktu untuk bertandang ke rumah Allah untuk solat jamaah? Adakah dalam kesibukan, kita masih melafazkan kalimah-kalimah suci Al Quran sejak berlalunya Ramdhan? Adakah di tengah malam, kita masih sanggup berpisah daripada empuknya tilam, bukan untuk sahur tetapi untuk bertahajjud kepadaNya? Dan apakah yang meningkat pada diri kita setelah berlalunya Ramadhan? Sama-sama kita muhasabah diri.

Ayuh, bulan ini adalah bulan ‘warm up’ ataupun pemanas badan untuk berlumba mendapatkan berkat dan rahmat di bulan Ramadhan. Bersiaplah untuk mengurangkan waktu tidur. Bersiaplah untuk lebih banyak mengeluarkan infaq dan sedekah. Bersiaplah untuk berdiri lama-lama menunaikan solat fadhu dan juga sunat. Bersiaplah untuk membaca Al Quran. Bersiaplah untuk bertahan dan tetap tidak melanggar segala aturan Allah.

Kerana apa kita harus bersiap-sedia dengan perkara-perkara tersebut? Kerana solat, tilawah, sedekah, zikir, mengawal nafsu itulah yang akan menjadi rutin amal kita dalam bulan Ramadhan. Persediaan ini amat perlu agar kita tidak lagi rasa kekok ketika Ramadhan tiba. Malah akan bertambah amal kita pada bulan Ramadhan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran yang besar daripada Allah. Persediaan ini juga bagi mengelak kita menyesal di kemudian hari akibat tidak cukup ‘panas’ untuk berjuang di medan Ramadhan. Persediaan inilah yang menunjukkan kita benar-benar ingin bertemu dengan Ramadhan yang mulia.

Saudaraku,
Sudah pastikah kita akan dapat merasai Ramadhan pada tahun ini? Maka selalulah berharap padaNYa. Seandainya, Allah memanjangkan umur kita untuk sampai ke bulan Ramadhan, maka tanamkanlah perasaan bahwa ini adalah Ramadhan yang terakhir untuk kita harungi. Pasakkanlah juga di hati kita bahawa kita akan meningkatkan momentum iman dan amal dari sekarang hingga Ramadhan melabuhkan tirainya kemudian disambung lagi sehingga tibanya Ramadhan yang akan datang. Dengan itu tidak akan ada alasan untuk berehat daripada beribadah kerana segalanya adalah bekalan untuk menghadapi Ramadhan yang penuh berkah.

Oleh itu, hargailah waktu-waktu emas yang ada untuk kita bertaqarrub kepadaNya. Kerana mungkin saja, setelah Ramadhan ini, tidak akan ada lagi kesempatan untuk kita menghirup rahmat Allah di bulan yang mulia. Tak ada lagi kesempatan untuk berpuasa di bulan Ramadhan. Tak ada lagi kemungkinan kita mengucap istighfar memohon ampun daripada dosa di saat pintu taubat dan pintu syurga dibuka luas-luas. Tidak ada lagi peluang bersedekah dengan lipatan pahala yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Dengan itu, mari kita ambil sebanyak-banyak manfaat pada bulan Sya’ban ini untuk kita bawanya ke bulan Ramadhan.

Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban. Dan sampaikanlah usia kami hingga bulan Ramdhan’.

No comments:

Post a Comment