Thursday, June 24, 2010

Disebalik Batu & Air

Assalamualaikum..

Semoga kasih sayang Nya tetap bersama kita. Nikmat Islam dan Iman itu amatlah besar jika kita seorang yang reti bersyukur. Dan bersyukurlah kepada Nya kerana mengizinkan kita untuk menggunakan segala yang diciptakanNya sebagai pelancar dan pelincir dalam hidup ini. Jika tidak, pastilah tidak keruan jadinya hidup manusia.

Jika kita seorang pemerhati, pengamat, penilai kejadian Tuhan, apa yang kita lihat pada air terjun? Batu itu dijadikan sifatnya sangat keras, besar, kuat malah bisa saja mencederakan. Manakala air pula sifatnya mengalir sangat lembut. Tetapi sekeras-keras sifat batu itu bisa saja ia hancur dek kerana air yang lembut. Jika kita lihat subjek geografi, bagaimana terjadinya gerbang, gua adalah kerana air yang menghentam pada batu. Adakah ini satu kebetulan?

Ikhwah sekalian,
Jelas, pada air dan batu itu wujud sebuah interaksi antara dua ciptaan Allah yang paradoks. Mereka berinteraksi bagi mewujudkan keharmonian alam tetapi bukan untuk mencapai pertelingkahan. Interaksi
mereka juga telah menyenangkan manusia bukannya menyusahkan keadaan. Interaksi mereka juga berjaya mententeramkan jiwa yang keluh kesah, jauh sekali menimbulkan keresahan. Mereka berinteaksi tanpa bosan dan jemu walaupun pada mereka itu suatu sifat yang amat jelas berlawanan.

Ayyuhal ikhwah,
Jika kita benar-benar hambaNya, ambillah ibroh disebalik kejadian ini. Allah menyuruh kita untuk bersatu padu serta berganding bahu bagi mengejar kehidupan di dunia dan akhirat. Manusia diciptakan dalam keadaan yang sama, punya sifat-sifat manusia, namun punya hati budi yang pelbagai. Ada yang lembut, ada yang keras, ada yang sentimental, ada yang terbuka, dan macam-macam lagi. Memang, memang Allah sengaja menjadikannya berlainan kerana inilah sebenarnya yang akan menjadikan hidup manusia saling melengkapi.

Maka, tidak harus ada pertelingkahan, pertengkaran, permusuhan, dan perkelahian sesama manusia. Terutama sekali bagi mereka yang memahami akan tuntutan agama ini, maka wajib bagi seorang da’i untuk memahami serta meneladani akan perumpamaan yang telah digarapkan oleh Allah. Allah telah berfirman, ‘Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi serta pergantian malam dan siang itu untuk mereka yang berfikir’.

Amat tidak patut bagi mereka yang beriman akan jalan dakwah ini jika mereka saling menyalahi, mencari salah orang lain, berdengki, tidak mahu bekerjasama dan mementingkan diri. Padahal, kita semua muslim, sama sahaja. Tidak ada yang membezakan kita melainkan takwa kepada Yang Maha Esa. Malulah kepada cipataan Allah, batu dan air. Mereka yang tidak punya akal fikiran lebih mengerti akan hakikat kehidupan berbanding manusia sendiri.

Teman-teman,
Ayuhlah kita sama-sama muhasabah kembali sejauh manakah diri kita telah menunaikan tuntutan agama dan persaudaraan. Jalan kejayaan ini panjang. Oleh itu, sabar dan tetap teguh dengan jalan ini akan membawa kita betul-betul merasai kenikmatan saat kita berdakwah. Insya Allah. Wallahu Ta’ala A’lam.

No comments:

Post a Comment