Thursday, December 23, 2010

INTROSPEKSI DALAM BELAJAR

Salam rindu dan salam perjuangan.
Syukur kepadaNya kerana memberikan kesempatan untuk penulis menulis sebuah lagi artikel dalam blog ini. Introspeksi yang dimaksudkan diatas adalah muhasabah diri. Selamat membaca. Moga bermanfaat.


Dari kecil kita dididik untuk menuntut ilmu. Ada yang sejak umurnya 3 tahun sudah belajar di sekolah. Ada yang sejak umur 4 tahun, 5 tahun dan 6 tahun. Alhamdulillah, syukur kita panjatkan kepada Al Khaliq kerana mengurniakan kepada kita terutama rakyat Malaysia kerana diberi kepekaan kepada ibu bapa kita dan kepada kita sendiri untuk sedar akan kepentingan menuntut ilmu sejak kecil lagi. Semoga segala ilmu yang diperolehi  mampu meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah.'واتقوا الله ويعلمكم الله'

Sebelum kita pergi lebih jauh dalam tajuk ini, penulis suka untuk kita sama-sama muhasabah kembali diri kita. Beberapa soalan ini, tanyalah diri kita sendiri. Siapakah kita? Dan kita hidup nak apa sebenarnya? Beberapa bait syair karangan Dr Yusuf Qardawi mengingatkan kita mengenai hakikat ini.

Persoalan yang di soal oleh orang yang tertanya-tanya
Semasa mereka sedar dan cerdik boleh berfikir
Dari manakah aku datang?Ke manakah aku hendak pergi?
Kenapa aku dijadikan? Adakah aku hidup kembali?

Fikir kembali siapakah kita sebenarnya dan kita nak apa sebenarnya. Persoalan ini akan membuatkan kita jelas dan yakin bahawa hidup kita ini tidak sia-sia.
Bahkan kita sebenarnya menuju ke sebuah matlamat yang jelas. Matlamat yang akhirnya membuatkan kita menyerahkan segala-galanya untuk jalan menuju redha Allah. Penyerahan  total yang hasilnya Allah meletakkan kita di dalam Jannah Nya dan bersama-sama Rasulullah, para Sahabat, dan juga orang-orang soleh. Allahu Akbar. Allahuma Inna Nasaluka Ridhoka WalJannah, WaJa’alna min ‘Ibadaka Assolihin.



Saudara yang dikasihi,
‘Ada satu kisah ringkas yang menceritakan mengenai seorang insan yang sedang menuntut ilmu dan dalam masa yang sama juga dia aktif dalam persatuan dakwah. Pada salah satu dalam peperiksaan,dia mendapat keputusan yang agak mengecewakan. Walhal, dia sedar dia telah melakukan sedaya upayanya dengan terbaik. Lalu berita ini sampai ke pengetahuan ibu bapanya. Maka ibu bapanya menasihatilah akan si dia agar tumpu betul-betul dalam pelajaran dan tinggalkan aktiviti luar dalam persatuan dan sebagainya. Yang penting berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan supaya senang hendak cari kerja kelak’.
Begitulah kisah seorang mahasiswa yang agaknya hampir kebanyakan daripada kita mengalami maslah yang sama. Daripada pengamatan penulis, dapatlah disebutkan beberapa sebab kenapa manusia belajar dan menuntut ilmu :
  •          Dipaksa oleh ibu bapa, mengikut adat hidup orang sekeliling, diajak oleh kawan-kawan
  •          Sekadar lulus dalam peperiksaan bagi menegelakkan keaiban yang bakal berlaku
  •          Lulus dengan cemerlang untuk memuaskan hati ibu bapa, atau untuk mendapat sanjungan orang lain, atau supaya dirinya menjadi rujukan, atau mendapat pekerjaan yang bergaji tinggi.
  •          Belajar dengan mendalam supaya setiap apa yang dipelajarinya dapat disampaikan kepada mereka yang lain dalam masa yang sama ingin mendapatka pahala orang menuntut ilmu dan pahala orang berdakwah.
Sidang pembaca sekalian,
Dimanakah kita meletakkan niat atau tujuan kita dalam menuntut ilmu. Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang keempat. Dan kita memohon agar Allah mengampuni dosa kita jika terdapat kepentingan duniawi dalam menetapkan tujuan kita belajar. Allahuma Ighfirlana Jami’an.

Apa yang ada pada ilmu? Kenapa kita menuntut ilmu? Kita nak apa dari ilmu sebenarnya? Dan andaikata kita berjaya dalam peperiksaan(cth: 8a, 10A+) apa yang kita nak daripadanya? Soalan-soalan sebegini perlu kerap kali ditanyakan agar kita sentiasa berada di trek yang betul dalam menetapkan niat belajar. Apa yang kita nak daripada ilmu adalah supaya diri kita tahu hakikat sebenar sesuatu perkara supaya tidak jahil. Kita ingin diri kita menjadi ulama’ kerana ulama’ adalah pewaris Nabi. Dan kita juga mahukan agar dengan ilmu itu kita mampu mengamalkannya. Dan yang paling besar sekali kita inginkan agar ilmu yang kita ada dapat dikongsikan dengan orang lain agar semua orang mengetahuinya.

Dalam kitab Usul Dakwah ada menyatakan bahawa, “Tidak syak lagi bahawa seruan kepada kebaikan, lebih-lebih lagi seruan kepada Allah, mesti disertai dengan ilmu. Walau bagaimanapun ilmu bukanlah
suatu yang tidak boleh dibahagi atau dipecahkan. Bahkan ilmu itu secara tabiinya adalah terbahagi-bahagi dan terpecah. Kadangkala seseorang itu mengetahui satu masalah tetapi jahil terhadap satu masalah yang lain. Oleh itu ia dianggap ulamak pada masalah pertama, maka WAJIBlah dia berdakwah dalam bidang yang diketahuinya dan tidak wajib berdakwah dalam bidang yang tidak diketahuinya. Para fuqaha’ bersependapat bahawa ‘siapa yang jahil terhadap sesuatu atau hukumnya, dia tidak wajib berdakwah mengenainya. Ini kerana di antara syarat sahnya dakwah adalah mengetahui dengan baik akan apa-apa yang diserukannya”

Maka, setelah memahami hakikat ini wajib bagi kita untuk melihat kembali niat-niat kita sebelum ini ketika menuntut ilmu. Ada dalam kalangan kita yang menjadikan peperiksaan sebagai hadaf utama sehingga mengabaikan hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada mereka yang berhak. Kita tidak mahu belajar semata-mata untuk lulus peperiksaan atau sebagainya. Malahan, kita jadikan lulus dalam peperiksaan sebagai wadah untuk kita mencapai matlamat yang lebih besar iaitu menjadi muallim(orang yang mengajar) ataupun da’ie. Dan inilah yang akan membuatkan kita untuk cemerlang dalam setiap perkara.

Ikhwah sekalian,
Oleh itu, perkara ini perlu difahami dengan jelas. Jadikanlah muntolaq ataupun batu loncatan kita dalam belajar adalah muntolaq RABBANI. Kerana kita tahu Allah pemilik segala ilmu dan segala-galanya. TAJDID NIAT kita setiap kali kita menuntut ilmu. CARILAH WASILAH yang  terbaik dan kemudian BERUSAHALAH bersungguh-sungguh. 'Apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah'. Ingatlah bahawa ILMU ITU AMANAH. Maka, pikullah amanah ILMU itu dengan sebaiknya. Wallahu ‘Alam.

*Artikel ini ditulis bagi mengingatkan penulis tujuan sebenar menuntut ilmu ketika 2 minggu sebelum menghadapi peperiksaan fasa 1 Kuliah Syariah Islamiyah(tahun 1), Universiti Al Azhar. Perasaan risau, cemas, gementar, takut membuatkan hati penulis tidak tenteram dan akhirnya berfikir kenapa aku belajar, kemana aku nak bawa dengan ilmu ini. Bebanan sebagai seorang pelajar agama amat-amat menguji sejauh mana kita ikhlas dalam menuntut ilmu. Moga bermanfaat..syukran lakum..jadikan kejayaan kita milik umat..bukan milik sekolah, uni, kolej dll..umat memerlukan org2 yg mahir akan ilmu kebenaran untuk memimpin mereka..insyaAllah.CEMERLANG UNTUK DAKWAH..MUMTAZ UNTUK UMMAT!!..
‘Allahumma ja’alna minan najihin fil imtihan, Ya Allah’

6 comments:

  1. yg penting adalah barokah.
    semoga berjaya akh :)

    ReplyDelete
  2. syukran lakum..jadikan kejayaan kita milik umat..bukan milik sekolah, uni, kolej dll..umat memerlukan org2 yg mahir akan ilmu kebenaran untuk memimpin mereka..insyaAllah..MUMTAZ UNTUK UMMAT..CEMERLANG UNTUK DAKWAH..

    ReplyDelete
  3. El-salam.. masyaAllah, first time terjah blog ni, rupanya akh azhari juga.. saya bakal bergelar azhari insyaAllah..semoga berjaya dgn mumtaz dlm imtihan dunia dan akhirat.. imtihan ana 8 Jun ni..doakan juga.. ;)

    ReplyDelete