Wednesday, April 28, 2010

Tomorrow for Islam

Salam buat semua,

Moga hari ini lebih baik daripada semalam, dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Setelah kejatuhan empayar Islam Othmaniah, kita telah melihat beberapa siri penindasan dan kekejaman yang telah menimpa umat Islam sehingga hari ini. Umat Islam seolah-olah telah hilang taringnya dan tidak mampu melawan kekuatan musuh. Islam telah kehilangan rijal-rijal yang akan kembali membawa kegemilangan Islam. Pukulan hebat dan penangkapan berlaku pada umat Islam apabila umat Islam mula bangun cuba untuk menegakkan Islam kembali. Umat Islam seolah-olahnya kehilangan pedoman dan panduan apabila melihat kekuatan musuh yang begitu hebat. Ramai dalam kalangan muslimin menyangkakan bahawa pada akhir zaman nanti akan berlakunya fitnah dan kerosakan di muka bumi. Mereka menyangka bahawa kekufuran berleluasa, kejahatan menguasai alam. Islam berada didalam kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan ditindas.

Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur/gambaran yang silap mengenai Islam dan semestinya perlu diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi. Jahiliyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka muslimin seharusnya merasa yakin dan tidak berputus asa dengan janji Allah bahawa Islam akan muncul mentadbir alam ini walaupun orang kafir cuba menghapuskannya.Firman Allah Ta'ala, 'Mereka cuba untuk memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang kafir tidak menyukai'(attaubah:32)

Sebenarnya sikap berputus asa dan keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini merupakan sikap yang sepatutnya dikikis. Umat Islam seharusnya merasa optimis dengan kejayaan yang bakal dihadapi
oleh Islam pada suatu hari nanti. Apabila kita melihat sirah perjuangan Rasulullah, Baginda sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang kemenangan yang bakal diperolehi oleh muslimin. Di dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah berhijrah ke Madinah, Baginda telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Nabi dengan menghadiahkan kalung Raja Kisra, Raja Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal. Namun, Rasulullah mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.

Begitu juga semasa peperangan Al Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali parit. rasulullah menyatakan kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom, dan Parsi. Sedangkan pada ketika itu umat Islam berada dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai, tetapi Rasulullah mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang kemenangan yang bakal diperolehi mereka. Dengan keyakinan inilah para sahabat berjuang bersungguh-sunggguh untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dinyatakan Rasulullah kepada mereka.

Fajar Islam pasti menyinsing. Kita melihat kebangkitan Islam telah mula bersinar di seluruh pelosok dunia. Umat Islam telah mula kembali percaya terhadap Islam. Dan musuh-musuh Islam telah mula bimbang dan khuatir dengan kebangkitan ini dengan menyebarkan dakyah bahawa golongan-golongan ini 'terrorist' dan 'fundamentalist'. Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari semakin hilang taringnya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan kerajan-kerajaan komunis lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak selama-lamanya.

Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal menjadi teraju kepemimpinan negara telah mengalami keruntuhan moral yang amat dahsyat. Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka sebenarnya merupakan negara yang menunggu saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis. Ini merupakan bibit-bibit awal bahawa fajar Islam akan mula menyinsing dan akan menjadi penguasa alam ini. Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam. Pemuda-pemuda Islam di seluruh pelosok alam telah mula melaungkan slogan Islam. Kebangkitan Islam telah berlaku kepada umat Islam dalam bentk fikri, akhlak, ekonomi, dan jihad. Maka kita yakin bahawa Allah pasti akan bersama-sama mereka dalam menegakkan Dinul Islam ini.

Oleh itu, dapat kita simpulkan bahawa ada 3 unsur kekuatan Islam yang mampu menggugat kekuatan musuh.

1) Kekuatan kuantiti : Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia. Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya di syukuri. Seperti mana firman Allah 'Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi banyak....'.
Jamaludin Al Afghani pernah berkata kepada rakyat India, " Jika  sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris"

2) Hasil Bumi : Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin.

3) Manhaj Rabbani : Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu mambawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini. Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini.

Maka, marilah kita berpegang teguh akan agama ini sebagaimana pesan Allah dalam kitab Nya yang bermaksud, 'berpegang teguhlah kamu pada tali Allah....'.selamat bersatu dan selamat berjuang..

No comments:

Post a Comment