Wednesday, February 10, 2010

TARBIYAH : Institusi yang Mulia


Semoga hidayah Allah tetap melimpahi kita. Mari pererat lagi tangan-tangan kita. Dekatkan lagi. Bersama-sama menghimpun tekad untuk melangkah bersama mengharungi dinding hidup dan jalan perjuangan yang semakin mencabar. Jangan lepaskan tangan saudaramu dari jalan ini. Sambut dan tarik dia untuk tetap berada di jalan ini agar tidak jatuh.

Teman-teman,
Sesungguhnya Allah telah berfirman didalam surah Al Hujuraat ayat ke 13 yang bermaksud, ‘sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah ialah orang yang paling tinggi takwanya’. Takwa itu lahir dari hati dan diserlahkan dengan perlakuan. Maka manusia hanya akan mampu menilai takwa seseorang yang lain hanya dari sudut pandang tindak tanduknya. Kerana sesungguhnya manusia tidak mampu untuk mencapai hati seseorang. Oleh itu, ketahuilah bahawa Allah mengetahui segala-galanya.

Rasulullah SAW merupakan satu role model yang begitu ideal bagi kita. Baginda juga merupakan insan yang mulia. Berikutnya, sahabat-sahabat yang sudah jelas kemuliaannya lahir daripada sebuah institusi yang didukung oleh Rasulullah. Mereka termasuklah Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan lain-lain lagi. Natijahnya, daripada institusi inilah peradaban Islam terpancar terang dan merubah dunia dengan segala polanya. Graduan-graduan yang keluar dari institusi inilah yang menjadikan Islam itu sebagai kuasa utama dunia. Subhanallah.

Apa yang menariknya, institusi ini tidak mempunyai manhaj(kurikulum) lain selain AlQuran. Rasulullah juga tidak punya kampus, kelas, dewan untuk anak-anak didiknya mendapat pendidikan. Malah, Baginda hanya menjadikan masjid sebagai markas mereka. Murid-muridnya pula hanya duduk di atas pasir, pusat pendidikannya hanyalah beratapkan pelepah tamar. Jika hujan pasti kebocoran. Mereka semua hanya menunggu apa yang turun dari langit(ayat-ayat Allah). Mereka juga disatukan oleh iman dan dengan itu menmbahkan lagi keakraban mereka. Mereka berasa izzah(bangga) dengan apa yang mereka lakukan. Walhal, pada mulanya, mereka hanyalah seorang insan biasa sebagai pengembala kambing dan sebagainya. Namun, mereka semua menjadi mulia dengan Islam dan apa yang mereka lakukan. ‘kemuliaan itu milik Allah , RasulNya, dan orang-orang yang beriman akan tetapi orang-orang munafik tidak mengetahui’(AQ:63:8)

Jelas, daripada institusi inilah lahirnya manusia yang paling mulia yang telah diakui seantero dunia. Mereka telah mengajarkan nilai-nilai luhur kemanusiaan, ilmu dan pengetahuan. Institusi ini juga menjadi tempat turunnya rahmat. Di sini juga dabacakan ayat-ayat suci dan disini jugalah terbitnya cahaya Tuhan semesta alam bagi meletakkan alumni-alumninya sebagai guru dunia.

Namun, dalam keadaan serba tidak lengkap frasarananya, pernahkah kita terfikir, apakah sebenarnya impian sebilangan orang yang dididik oleh Rasulullah itu? Apakah yang mereka impikan dan inginkan? Sejauh manakah cita-cita mereka yang behimpun dalam keadan sebegitu? Apakah yang mereka hajatkan sebenarnya? Ternyata, dalam hati mereka semua terdapat suatu impian yang cukup besar dan sangat mulia. Mereka ingin meletakkan dalam kepala manusia sebuah akal baru, menegakkan di muka bumi ini sebuah agama baru, membangunkan bangunan-bangunan baru untuk seluruh aspek kemanusiaan dan akhirnya menghubungkan antara langit dan bumi seraya berkata ‘Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya Engkau kami minta pertolongan’.

Dalam bilangan yang sedikit, miskin kelengkapan, namun, ternyata sekali mereka berjiwa besar. Mereka ingin sekali membimbing manusia dengan seizin Tuhan kearah satu cara hidup baru, sistem baru, dan kemanusiaan yang baru. Dengan itu, hati-hati mereka berhimpun dan diikat untuk Allah. Institusi ini bersiap sedia untuk mencetak peribadi-peribadi unggul untuk dipersembahkan kepada manusia seluruhnya. Mereka mahu menyampaikan risalah yang diperolehi kepada manusia agar menjadi umat yang terbaik sebagaimana firman Allah, ‘Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia….’(AQ:3:110)

Ikhwah yang dikasihi,
Pernahkah kita melihat sebuah institusi yang semulia ini. Kala ini, memang banyak sekolah, institusi pendidikan, universiti yang hebat-hebat malah berprestasi tinggi. Namun, adakah dengan sekolah yang berprestasi tinggi ini sistem kemanusiaan yang baik mampu dicipta? Walaupun dihimpun semua alumni institusi yang ada di dunia, belum tentu mampu mencipta sebuah tamadun baru yang boleh diterima umum. Kenapa demikian? Sememangnya mereka tidak mencontohi apa yang dilakukan Rasulullah. Mereka tidak berjiwa besar. Mereka hanya ingin melahirkan graduan-graduan yang mampu membina bangunan, mencipta ubat, vaksin, teknologi baru. Malang sekali institusi ini semua tidak mampu mencorak manusia yang mampu untuk membangun sebuah tamadun yang dihormati.

Jadi, apakah sebenarnya institusi yang Rasulullah tubuhkan? Sememangnya institusi ini lain dari yang lain. Inilah yang dinamakan institusi TARBIYAH. Sebuah institusi yang didalamnya dijalankan segala wasilah tarbiyah seperti usrah yang menjadi fundamesi dalam institusi ini, katibah, daurah, mukhayyam, muktamar dan lain-lain. Dalam menjalani hidup di institusi tersebut, terdapat tiga pilar utama yang menjadi nadi dalam perjuangan mereka iaitu iman yang sempurna, cinta yang kukuh,pertautan hati serta jiwa, dan siap siaga untuk berkorban. Kesemua ciri ini merupakan hasil yang diperolehi daripada institusi tarbiyah yang mereka sertai. Oleh yang demikian, bertebaranlah mereka di bumi Allah untuk menyempurnakan misi dakwah yang diwariskan Nabi SAW. Lantas, Islam dikenali seluruh dunia dan semua kuasa tunduk kepada ketamadunan Islam yang suci.

Sahabat-sahabat,
Marilah kita sama-sama perbaharui paradigma kita. Jadi, bagi mereka yang beriiwa besar, bercita-cita tinggi perlulah mencontohi sistem yang Rasulullah telah wariskan. Tidak boleh tidak, kita perlu turut serta dalam sistem tarbiyah dan setia dengannya. Inilah sebenarnya jalan yang benar-benar mampu mengubah dunia.Pegang erat tangan-tangan kita,pertautkan hati serta jiwa kita, berharaplah hanya kepadaNya, lantas bergeraklah bersama-sama mencetus satu nahdah membangun Islam. Akhir kalam, Berbahagialah bersama Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment