Tuesday, January 14, 2014

Amthal(Perumpamaan) bagi mereka yang berfikir

Ketika anak-anak bangsa tak lagi mampu memahami sindiran-sindiran, pepatah-pepatah, ataupun kias metafora, maka kiamat bangsa itu sudah di ambang pintu. Tentu saja tidak dimaksudkan dengan kiamat itu sebagai kehancuran fizikal, melainkan ianya kiamat nilai-nilai mulia yang selama ini mereka hayati. Mereka telah hidup dalam dimensi-dimensi kebendaan yang pekat, dominan, dan reflek. Al Quran melancarkan seruan-seruannya dengan sebahagiannya berbentuk amthal(perumpamaan), sebagaimana firman Allah SWT,
وتلك الأمثال نضربها للناس وما يعقلها إلا العالمون
“Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia dan tidak ada yang akan memahaminya kecuali mereka yang berilmu” (Al Ankabut:43)

Jika para perasuah punyai kulit wajah yang nipis dan urat yang lembut untuk memahami sindiran halus, nescaya mereka akan malu untuk merompak kekayaan bangsa. Akan tetapi, sayang seribu kali sayang, keadaan mereka telah sampai ketahap seperti yang dikatakan orang, muka tembok urat badak sehingga tidak cukup sensitif terhadap penderitaan rakyat. Sindiran-sindiran itu sudah terlalu kasar bila ditampilkan dalam bentuk pidato, demonstrasi, puisi, risalah, lagu-lagu ataupun lakonan.

 Semut yang dikenal rajin, berdisiplin dan tersusun, memang selalu mengumpulkan makanan untuk jangka masa yang lebih panjang dari usia mereka sendiri. Perkara itu dilakukan bagi memenuhi idea atau tuntunan nasional semut sejagat, dan bukan untuk kerakusan peribadi.

Renungan terhadap alam yang santun, tumbuh-tumbuhan yang menyubur, serta haiwan-haiwan yang unik pasti akan menemui sesuatu bagi mereka yang melihat dan menilai dengan mata hati mereka. Cukup dengan bercerminkan alam, tetapi,
وكأين من ءاية في السماوات والأرض يمرون عليها وهم عنها معرضون ٠ وما يؤمن أكثرهم بالله إلا وهم مشركون ٠
“Dan berapa banyak tanda-tanda di langit dan di bumi yang mereka lalui, namun mereka berpaling daripadaNya. Dan kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah, bahkan mereka mempersekutukanNya.” (Surah Yusuf : 105-106)

Amthal 1 : Penenun yang mengoyak tenunannya


“Dan janganlah kamu menjadi seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali, kamu menjadikan sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu disebabkan adanya satu golongan yang lebih banyak jumlahnya dari golongan yang lain…” (QS.16:92)

Betapa banyak tenaga yang diperlukan untuk menghasilkan satu tenunan yang baik. Disitu tergabung unsur intelektual dan juga moral. Namun, hasil usaha yang lelah itu akan mudah hancur dalam waktu yang singkat dek kerana unsur emosional yang tak terkawal. Moralnya, jangan memberi pekerjaan kepada orang yang usia semangatnya sudah larut senja atau kearifannya masih terlalu pagi. Hanya kepanikan yang akan menyudahi kerja itu.

Kerja atau gagasan yang besar haruslah dihayati dengan, himmatu assyabab fi himmati assyuyukh (semangat pemuda dalam kebijaksaan orang tua). Kesatuan umat itu sangat sukar untuk dilakukan namun betapa mudah untuk dihancurkan. Seribu teman belum cukup, satu musuh terlalu banyak. Sunguh aneh dan pelik, menenun berhari-hari, bahkan berbulan-bulan, akhirnya dikoyak dan dihancurkan dengan begitu mudah kerana turutan nafsu yang tak terkawal.

Amthal 2 : Tetapi siapa yang akan menggantungkan locengnya ?

Telah bersidang sekumpulan tikus. Isu utama yang dibincangkan ialah, bahaya kucing yang mengancam penerusan bangsa tikus. Banyak usul dicadangkan tetapi semuanya tergantung. Antaranya, dikuarantinkan anak-anak tikus dan juga melakukan rondaan yang berterusan.

Akhirnya, seekor tikus junior memberi usul mantap yang menakjubkan. Katanya, ‘Leher setiap kucing perlu diletakkan loceng yang kuat bunyinya agar anak-anak kita boleh masuk ke dalam lubang perlindungan dengan segera.’ Usul genius ini berjaya menenangkan ahli persidangan yang sudah hampir buntu.

Ketika semua sudah berasa agak selesai, seekor tikus senior berkata, ‘Arra’yu sohih, walakin man 
yualliqul jaras?’ (Pandangan itu betul, tetapi siapa yang akan menggantungkan loceng itu ?) Masing-masing tercengang kembali berputus asa.

Fabel amthal ini memang rekaan tetapi mencerminkan banyak perkara. Kearifan dan keputus asaan dalam waktu yang sama. Juga kecerdasan yang dibanggakan pada diri sendiri. Kadang-kadang juga, kelompok pesimisme akan mematahkan kelompok optimisme dengan amthal seperti ini.

Amthal 3 : Rahimallahu As Saariqu Al Awwal

Satu desa mengalami berita gempar dengan kemunculan kes kecurian yang aneh. Setiap kali jenazah dikuburkan, pasti keesokannya kubur yang rapi itu sudah berterabur. Setelah diselidik, ternyata kain kafan jenazah itu sudah ghaib. Penduduk kampung sedaya upaya menangkap pencuri tersebut tetapi hanya kegagalan ditemui. Mereka semua geram, marah, juga putus asa. Hinggalah sampai suatu masa kecurian itu tidak berlaku lagi. Rupa-rupanya si pencuri itu telah mati.

Keadaan kembali tenang. Namun, sekali lagi mereka digemparkan dengan kes kecurian yang hampir sama bahkan lebih aneh. Mayat-mayat yang telah dikebumikan dilonggokkan di atas kubur tanpa kain kafan. Mereka pun melakukan pelbagai usaha untuk menangkap pencuri tersebut. Akhirnya, dengan rasa putus asa mereka mengatakan, ‘Lebih baik pencuri yang dulu. Rahimahullah assaariqu alawwal’ (Semoga,  Allah mengasihi pencuri terdahulu).

Keadaan ini jika dianalogikan kepada situasi politik, parti politik dan wakil rakyat yang mewakili masyarakat yang ambil sikap acuh tak acuh dengan perkembangan sekeliling yang akhirnya rela diperbodoh dan diperguna kembali.

Amthal 4 : Beruang setia

Cinta dan pengorbanan tanpa didasari ilmu boleh mengakibatkan kehancuran.

Alkisah, seorang alim yang baik hati bertemu dengan seekor beruang yang tersepit di celah pokok ketika berjalan di hutan. Dengan rasa penuh kasihan, si alim itu membebaskan beruang itu. Lumrahnya, siapa saja yang yang mendapat jasa pasti tidak akan melupakan si pemberi jasa. Maka, si beruang itu pun berikrar untuk menjadi pengawal setia dan pelayan untuk si alim itu. Kemana-mana saja ia pergi, pasti si beruang itu mengikuti dan mengawalnya.

Pada suatu hari, si beruang itu begitu kesal lantaran waktu rehat tuannya terganggu  dek dikacau lalat-lalat yang hinggap di muka tuannya. Beruang itu menghalau lalat tersebut, namun lalat-lalat itu kembali semula menghinggap di muka si alim itu. Sampailah satu saat sang beruang berasa sungguh  marah akan lalat-lalat itu. Lalu bersedialah si beruang itu dengan sebuah batu besar. Melihat saja seekor lalat menghinggap di muka tuannya, lalu dihentamkannya batu itu ke atas lalat tersebut. Namun, sang lalat itu lebih lincah dan berjaya melarikan diri dan wajah tuannya itu hancur berderai dihempas batu besar.

*****
Semua kisah di atas hanyalah analogi dan kisah yang punyai pelbagai pengajaran dan hikmah yang tersirat dan hanya boleh disingkap bagi mereka yang betul-betul ingin berfikir dan melakukan introspeksi. Nilai dan tengok batang hidung diri kita sendiri, bagaimana hidup kita sekarang.  Ada orang yang apabila berlaku kecelakaan, cepat saja dia tujukan kepada orang lain, katanya ‘ini semua salah dia’. Ada orang yang sibuk bekerja dan berpersatuan berhari-hari tanpa menyedari dia hanyalah membina keruntuhan moral dan merobek kesatuan umat. Ada juga yang begitu taksub dan cinta akan sesuatu perkara yang akhirnya dia sendiri tidak tahu ke mana perkara itu akan membawanya. Dan ada orang yang suka bermain-main dengan ayat Allah dan menjadikannya ‘backup’ untuk sesuatu tujuan yang hendak dicapai, walhal ianya bercanggahan dengan konteks kehendak dan tujuan ayat itu sendiri diturunkan. Dan macam-macam lagi.

Jangan jadi seperti kerbau dicucuk hidungnya, berperibadi muka tembok urat badak serta talam dua muka, bekerja ibarat ikan di hulu tuba di hilir, bagai anjing dengan kucing tak habis-habis, dan akhirnya, jangan sampai ibarat belacan dikerat dua, yang pergi busuk, yang tinggal hanyir. Sekian.

إنما الأمم اخلاقهم ما بقيت فان هم ذهبت اخلاقهم ذهبوا
Sesungguhnya bangsa-bangsa akan kekal selama mana mereka berakhlak, dan jika akhlak mereka telah hilang, maka mereka juga akan lenyap.

ليس الفتى من يقول كان ابى ولكن الفتى من يقول هاأناذا
Bukanlah seorang pemuda itu yang mengatakan inilah ayahku tetapi pemuda itu sebenarnya adalah yang mengatakan, ‘INILAH AKU’.


-artikel ini diadaptasi dan diolah daripada buku, Pilar-Pilar Asasi, K.H Rahmat Abdullah-

No comments:

Post a Comment