Thursday, December 23, 2010

INTROSPEKSI DALAM BELAJAR

Salam rindu dan salam perjuangan.
Syukur kepadaNya kerana memberikan kesempatan untuk penulis menulis sebuah lagi artikel dalam blog ini. Introspeksi yang dimaksudkan diatas adalah muhasabah diri. Selamat membaca. Moga bermanfaat.


Dari kecil kita dididik untuk menuntut ilmu. Ada yang sejak umurnya 3 tahun sudah belajar di sekolah. Ada yang sejak umur 4 tahun, 5 tahun dan 6 tahun. Alhamdulillah, syukur kita panjatkan kepada Al Khaliq kerana mengurniakan kepada kita terutama rakyat Malaysia kerana diberi kepekaan kepada ibu bapa kita dan kepada kita sendiri untuk sedar akan kepentingan menuntut ilmu sejak kecil lagi. Semoga segala ilmu yang diperolehi  mampu meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah.'واتقوا الله ويعلمكم الله'

Sebelum kita pergi lebih jauh dalam tajuk ini, penulis suka untuk kita sama-sama muhasabah kembali diri kita. Beberapa soalan ini, tanyalah diri kita sendiri. Siapakah kita? Dan kita hidup nak apa sebenarnya? Beberapa bait syair karangan Dr Yusuf Qardawi mengingatkan kita mengenai hakikat ini.

Persoalan yang di soal oleh orang yang tertanya-tanya
Semasa mereka sedar dan cerdik boleh berfikir
Dari manakah aku datang?Ke manakah aku hendak pergi?
Kenapa aku dijadikan? Adakah aku hidup kembali?

Fikir kembali siapakah kita sebenarnya dan kita nak apa sebenarnya. Persoalan ini akan membuatkan kita jelas dan yakin bahawa hidup kita ini tidak sia-sia.